Tuesday, December 15, 2015

KEPENTINGAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN

PENDAHULUAN
            Ungkapan “dunia tanpa sempadan”, “maklumat di hujung jari” dan beberapa lagi ungkapan yang sering kita dengar dan acap kali diungkapkan yang mana merujuk kepada kekuasaan dan perkembangan dunia teknologi maklumat yang berkembang dengan pesat bagai tiada noktah. Pada masa kini, teknologi maklumat merupakan suatu keperluan dalam kehidupan kita seharian. Ia berkembang sejajar dengan penghasilan gajet-gajet mudah alih seperti telefon pintar dan pelbagai pakej perkhidmatan internet ditawarkan yang membenarkan pengguna memperolehi perkhidmatan internet dan perkongsian maklumat dengan amat mudah tanpa mengira masa dan tempat.

            Disamping perkongsian dan carian maklumat atas talian, fenomena media sosial turut mengambil tempat dalam kehidupan harian kita pada masa kini.Ia tidak mengenal usia, gender, latar belakang kehidupan dan sebagainya. Semua orang bebas dan berhak menggunakan media sosial mengikut keperluan dan keselesaan individu.

            Manfaat dan kebaikan dunia teknologi maklumat dan media sosial dalam kehidupan kita seharian amat banyak.Namun ianya harus digunakan secara bijak dan terkawal. Perbincangan dan kupasan yang akan ditekankan dalam penulisan ini ialah tentang kepentingan media sosial dalam dunia perniagaan yang akan diulas pada bab yang seterusnya.

SEJARAH DAN EVOLUSI MEDIA SOSIAL

            Media sosial merupakan wadah dan platform bagi pengguna atau “user” untuk berhubung, berkomunikasi, berkongsi maklumat, gambar dan sebagainya dengan adanya talian internet. Sejarah perkembangan media sosial sebenarnya telah bermula sejak tahun 1978 dengan penemuan Sistem Papan Buletin yang membolehkan surat elektronik atau e-mail dikirimkan dengan menggunakan talian telefon yang disambung kepada peranti. Sistem papan buletin ini ditemukan oleh Ward Christensen dan Randy Suess yang merupakan pelopor dunia komputer. Sejarah perkembangan jaringan media sosial bermula dengan pengiriman e-mail oleh pengkaji ARPA ( Advanced Research Project Agency) pada tahun 1971.

            Pada tahun 1995 lahirnya laman Geo Cities yang mana ia menjadi Web Hosting yang menawarkan perkhidmatan penyimpanan data-data website agar website tersebut boleh dilayari oleh pelayar internet. Kemunculan Geo Cities telah menjadi perintis kepada kemunculan website yang lain.

Pada tahun 1997 muncul pula halaman media sosial pertama iaitu Sixdegree.com, walaupun sebenarnya pada tahun 1995 telah terdapat halaman Classmates.com yang juga merupakan halaman media sosial namun, Sixdegree.com dianggap lebih dinamik dalam menawarkan perkhidmatan sebagai sebuah halaman media sosial berbanding Classmates.com.

Evolusi perkembangan rangkaian media sosial terus mencipta sejarah iaitu pada tahun 1999 muncul halaman untuk membuat blog peribadi, iaitu bloggerHalaman ini menawarkan penggunanya untuk membina laman sesawang sendiri. Ia membolehkan pengguna iaitu blogger untuk memuat naik dan berkongsi apa jua yang di inginkan. Ia termasuk hal peribadi ataupun untuk meluahkan pendapat dan perasaan. Para blogger ini telah menjadi tonggak kepada berkembangnya sebuah media sosial.

Kemunculan Friendster pada tahun 2002, iaitu halaman media sosial yang telah menjadi satu fenomena pada waktu tersebut. Ia mula menarik perhatian para pengguna terutamanya golongan belia dan remaja. Ia membolehkan pemilik akaun Friendster berkongsi tentang aktiviti harian mereka, menambah kenalan dan sebagainya. Namun pada ketika itu, penggunaannya agak rumit disebabkan rangkaian internet adalah terhad yang mana perkhidmatan internet hanya boleh didapati dengan menggunakan talian tetap yang disambung menggunakan peranti. Para pengguna perlu melanggan talian tetap di rumah atau pejabat masing-masing ataupun terpaksa pergi ke pusat komputer untuk mendapatkan perkhidmatan internet.

Pada tahun 2003 muncul pula LinkedIn, yang mana ia bukan sahaja berfungsi sebagai media sosial namun ia menjadi halaman yang digunakan bagi mencari pekerjaan. Secara tidak langsung ia menambahkan fungsi halaman media sosial itu sendiri. Pada tahun yang sama, turut lahirnya media social baru iaitu MySpace. Ia menawarkan tatacara penggunaan yang mudah dan ia telah menarik minat para pengguna.

Seterusnya pada tahun 2004 lahirnya Facebook, halaman media sosial yang terkenal hingga saat ini. Ia juga merupakan salah satu halaman media sosial yang memiliki pengguna terbanyak iaitu dianggarkan telah melebihi 1.4 milion pemilik akaun Facebook di seluruh dunia.
Bermula tahun 2006 dan sehingga kini, lahirnya pelbagai halaman media sosial yang membolehkan pengguna memlilih dan mendaftar sebagai pemilik akaun mengikut kesesuaian dan keselesan mereka. Antara yang halaman media sosial yang mendapat sambutan  ialah Twitter, Instagram, Beetalk, WeChat, WhatsApp, Telegram, Tango, Kakao Talk, Line dan sebagainya. Malahan evolusi ini akan terus berkembang dan persaingan antara penyedia perkhidmatan laman sosial ini akan terus berlaku ditambah pula dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi pada masa kini yang mana terdapatnya smart phone dan perkhidmatan internet yang boleh diakses dengan meluas di Malaysia dan serata dunia.


KEPENTINGAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN

            Adakah anda sedar mengenai potensi pemasaran melalui media sosial pada masa kini? Pemasaran melalui media sosial merupakan salah satu strategi pemasaran yang amat berkesan jika diaplikasikan dengan cara yang betul. Perkhidmatan ‘Microblogging’ merupakan salah satu contoh pemasaran melaui media sosial. Apa yang paling penting ialah peniaga perlu mendapatkan ‘follower’ sebanyak yang mungkin. Oleh itu, peniaga perlu  post update sekerap yang mungkin dan sentiasa mencari follower baru. Dengan cara ini bukan sahaja peniaga boleh mendapatkan pengikut atau follower malah peniaga boleh mengeratkan lagi hubungan rapat dengan pelanggan.

Pemasaran menggunakan media sosial merupakan salah satu teknik yang sangat membantu untuk usahawan-usahawan yang ingin memasarkan produk mereka dengan lebih meluas lagi. Dengan menggunakan media sosial sebagai agen aktiviti pemasaran, peniaga boleh mendapat prospek pelanggan baru yang berpotensi dengan mudah dan mereka juga akan dapat meningkatkan jualan kerana lebih ramai lagi pengguna akan mengetahui mengenai produk yang disediakan. Ia bukan hanya untuk pasaran tempatan sahaja, malah pasaran antarabangsa juga boleh didapati dengan adanya media sosial ini.

Para peniaga yang menggunakan media sosial sebagai medium bagi memasarkan dan memperkenalkan produk perlu memasukkan pautan ke laman sesawang jualan mereka. Ini akan memudahkan pengikut mereka untuk terus ke laman sesawang peniaga bagi memperolehi lebih maklumat dan produk yang ditawarkan oleh peniaga.

Jika diteliti, bukan sahaja peniaga kecil yang menggunakan medium media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka, malah syarikat-syarikat besar juga tidak ketinggalan untuk menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka.Hampir semua industri dengan berbagai jenama besar telah menggunakan media sosial sebagai pemasaran mereka. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa media sosial adalah antara cara pemasaran yang terbaik di zaman ini.

Ada banyak faktor mengapa para pemasar ataupun marketing memilih pemasaran menggunakan media sosial, diantaranya adalah untuk meminimakan kos pengiklanan mereka.
Kos pengiklanan mereka dapat diminimakan dengan menggunakan media sosial ini. Tidak dinafikan lagi bahawa peniaga boleh mengurangkan kos pengiklanan mereka jika dibandingkan dengan cara pemasaran lain selain media sosial.

Banyak perniagaan besar dan terkenal telah memanfaatkan media sosial sebagai media publisiti untuk memperkenalkan jenama mereka. Sebabnya adalah kerana mereka tahu dengan pengguna media sosial yang sangat ramai, mereka berpeluang untuk memperkenalkan jenama mereka dengan cara ini, malah dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan cara pemasaran tradisional.

Terdapat juga perusahaan dan perniagaan yang menggunakan media sosial untuk menyediakan ruangan khidmat pelanggan mereka. Dengan cara ini sahaja mereka boleh memberikan khidmat yang lebih cepat malah dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pembeli mereka yang sedia ada. Itulah sebabnya mengapa media sosial ini memainkan peranan yang sangat penting dalam pemasaran masa kini.

Laman Media Sosial

Ramai peniaga yang mengakui dengan adanya media sosial ini, mereka dapat meningkatkan jualan produk mereka daripada perniagaan yang dijalankan. Jika diperhatikan dilaman-laman media sosial kini, terdapat banyak iklan dan tawaran yang muncul dilaman-laman ini.Jadi kepentingan media sosial ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menambahkan keuntungan dalam perniagaan mereka.

Pendek kata, media sosial memainkan peranan yang signifikan dalam proses pemasaran yang kemudiannya akan menampakkan peningkatan dari segi jumlah penjualan dan bertambahnya keuntungan dalam perniagaan. Media Sosial menjadi tempat pemasaran yang efektif kerana kemudahan internet itu sendiri yang kini manfaatnya boleh dinikmati oleh berbagai kalangan masyarakat termasuk menggunakannya untuk ‘bermain’ di jejaring sosial.

Proses penyebaran informasi dan maklumat di media sosial adalah sangat mudah kerana peniaga hanya perlu membuat artikel, tulisan, gambar, video, atau apa jua bentuk informasi lainnya dan meletakkannya di media sosial tertentu yang dapat dilihat oleh semua pengguna di internet.

Selain itu, dengan adanya sistem pemberitahuan atau notifikasi kepada pengguna media sosial, dapat memberitahu pengguna-pengguna ini bahawa terdapat posting informasi terbaru daripada peniaga-peniaga tertentu. Dengan cara ini, pengguna boleh mendapatkan informasi dengan pantas dan cepat.

Media sosial telah mengambil peranan penting dalam pemasaran sesebuah perniagaan. Sebagai contoh, Twitter telah berkembang pesat menjadi media yang pantas dan cepat dengan penyampaian berita terkini yang terjadi di sekitar kita atau yang menjadi trending pada waktu-waktu tertentu.

Dengan adanya media sosial ini mampu menciptakan sebuah dimensi baru untuk pemasaran internet sehingga menjadi lebih efektif, efisien dan lebih produktif jika peniaga mampu mempertahankannya dan mampu mengembangkannya menjadi sebuah media internet marketing yang berkualiti, dan lebih komprehensif untuk menarik pembeli yang berpotensi dan sangat berharga.

Jelaslah bahawa media sosial merupakan sebuah platfom internet yang sangat berguna terutama bagi mereka yang menginginkan pemasaran melalui media internet yang produktif tanpa mempunyai kos yang tinggi untuk dikeluarkan untuk pemasarannya.

Teknik Pemasaran Media Sosial diakui merupakan alat pemasaran yang terbesar dan dominan pada masa ini. Ia sepatutnya menjadi pelan pemasaran yang paling efektif untuk semua pemilik perniagaan sama ada yang kecil ataupun besar.

Bersosial di laman maya sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan pada masa kini. Cuba bandingkan pada waktu dahulu di mana tiada talian internet, perhubungan seperti majlis keramaian menjadi tempat utama untuk bersosial di samping majlis-majlis lain. Namun kini, laman sosial seperti Facebook, Friendster, Twitter dan pelbagai lagi laman sosial lain menjadi alternatif bagi tujuan untuk bersosial.


PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN SECARA GLOBAL

Berdasarkan penyelidikan global yang dijalankan oleh McCann Worldgroup, perniagaan memerlukan anjakan terutama daripada segi pemikiran tentang model perniagaan dan memikir semula penciptaan nilai jenama untuk berjaya dalam dunia jaringan sosial. Menurut kajian bertajuk The Truths About Social yang dijalankan merentasi 19 negara dan disertai lebih 30 kumpulan fokus dan 12,000 maklumbalas secara atas talian telah mendedahkan pandangan tentang maklumbalas berkaitan dengan dunia sosial termasuk melalui jaringan, sosial, bukti dan perniagaan sosial.

Pengarah Kumpulan Perancangan Penjenamaan dan Inovasi, McCann Worldgroup Malaysia, Dr Milan Agnihotri berkata, kebanyakan pengguna menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan jenama dan mendapatkan khidmat pelanggan yang lebih baik. Beliau dipetik berkata “mereka juga memuji sesuatu pengalaman, meluahkan perasaan, mengutip maklumat dan mendapatkan tawaran lebih baik”. Menurutnya, kesemua kajian menunjukkan pengguna merujuk kepada jenama melalui pengguna atau blogger berpengaruh. Beliau berkata, pengguna dalam golongan usia 16 hingga 30 tahun, 90 peratus daripada mereka akan memberitahu kepada rakan, tentang sesuatu syarikat atau jenama itu mampu meyakinkan mereka. "Jelas sekali manfaat dan pe­ngaruh media sosial terhadap pengguna internet semakin cepat memberi impak kepada dunia perniagaan. Media sosial menjadi platfom untuk berkongsi idea, menilai jenama dan perniagaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pengguna memainkan peranan besar dalam mengubah perniagaan yang berorientasikan keuntungan kepada perusahaan yang bermatlamat. Potensi ganjaran untuk syarikat dan jenama amat besar terutama peluang untuk menjadi jenama global yang dipercayai pengguna.
Jaringan Hubungan Media Sosial

            Bidang komunikasi telah berubah kerana teknik komunikasi yang bersifat satu hala diantara komunikasi syarikat dan pelanggan sudah tinggal kenangan. Rangkaian sosial membantu menjadikan syarikat-syarikat lebih telus, mendapat kepercayaan dan membina kredibiliti melalui komunikasi dengan para pelanggan. Di zaman ini, sebelum membuat pembelian, para pelanggan akan mencari maklumat tentang produk yang diperlukan menggunakan enjin carian atau rangkaian sosial. Mereka memperolehi maklumat bukan sahaja berkenaan tawaran semasa, tetapi juga tentang pengalaman pelanggan-pelanggan lain yang telah menggunakan produk tertentu.

Kehadiran pakar dalam rangkaian sosial juga penting kerana ia membolehkan hubungan lebih rapat dengan pelanggan. Tugas para pakar adalah untuk mewujudkan persekitaran yang sukar ditolak, yang akan menarik orang ramai yang berpotensi menjadi pelanggan atau pengguna, bergantung kepada pemikiran dan tindakan mereka.

Apabila peniaga mengambil keputusan untuk menceburi rangkaian sosial, adalah penting untuk mengetahui akan kelebihannya, dan juga risiko yang perlu dihadapi. Pertama sekali, paling asas ialah menentukan halatuju dalam menentukan strategi pemasaran selanjutnya. Kehadiran peniaga haruslah bermakna, sekiranya peniaga hanya sekadar terikut-ikut syarikat-syarikat lain yang telah menyertai rangkaian sosial, tindakan ini tidak masuk akal.

Ungkapan “dunia tanpa sempadan” seperti yang dinyatakan dalam bab yang terdahulu telah terbukti kebenarannya pada masa kini. Sebagai contoh, kita sebagai pengguna atau pembeli di Malaysia mampu mendapatkan maklumat produk dan membeli produk yang dijual di luar Negara dengan adanya bantuan laman sesawang dan media sosial. Tanpa perlu menggunakan khidmat orang tengah atau tanpa perlu menunggu masa yang lama bagi urusan jual beli.


FAKTOR-FAKTOR PENDORONG PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

            Terdapat dua faktor mudah yang menjadikan laman sosial merupakan perkara penting dalam perniagaan pada masa kini, iaitu faktor pertama ialah ia sebagai lubuk jualan kerana urusan perniagaan akan menjadi lebih mudah apabila terdapat banyak pelanggan berpontensi. Bayangkan jika peniaga membuka kedai di belakang lorong-lorong kecil jalan yang terletak di bahagian belakang dan jauh dari pandangan orang ramai, sudah tentu jualan peniaga itu sedikit.
Oleh sebab itu banyak kedai-kedai besar dan berjenama seperti Jusco dan Tesco memilih untuk membuka cawangan mereka di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang besar. Sama juga seperti laman sosial yang mempunyai ramai pengguna.Ini membuka peluang jualan yang lebih besar.


Matlamat Keuntungan

Faktor kedua ialah pemasaran percuma.  Laman sosial tidak memerlukan sebarang kos untuk para peniaga mendapatkan satu akaun. Ianya pada kebiasannya diberikan secara percuma dengan syarat peniaga mempunyai akaun email sahaja dan mereka akan memperolehi kata kunci untuk jualan melalui laman sosial ini.Produk dan pendekatan yang bagus dalam jualan peniaga akan menyebabkan pemasaran sacara percuma berlaku. Sesuatu berita itu akan lebih cepat tersebar di dalam laman sosial kerana berlakunya biasan berita atau entri di dalam laman sosial.

Pendek kata, peniaga membuat satu entri atau post dan para pengikut sediada akan dapat terus mengakses entri tersebut. Jika para pengguna menyukainya, mereka boleh berkongsi dengan rakan-rakan mereka dan proses tersebut akan berulang-ulang secara terus. Ini yang dinamakan Viral Marketing.

Kesimpulannya, perniagaan dan jaringan sosial melalui laman sosial sangat penting dalam perkembangan dan peningkatan jualan. Bukan sahaja percuma, malah pendekatan yang lebih efektif buat masa kini bagi sesetengah produk. Tidak semua produk jualan atau perkhidmatan sesuai untuk dipromosikan menerusi laman sosial.

Setiap perniagaan di internet memerlukan kemahiran dan penguasaan beberapa bidang teknikal dan perlukan corak serta reka bentuk yang menarik namun tidak semua pemilik perniagaan di internet memiliki kemahiran ini.Jadi keperluan kepakaran reka bentuk grafik, pemasangan laman web, dan lain-lain perkhidmatan berkaitan adalah penting.

Maka wujudlah pelbagai perkhidmatan di internet. Apabila menyebut sahaja perkataan perkhidmatan, sudah tentu perlu melibatkan kos dan bayaran kepada penyedia perkhidmatan. Di internet, peniaga hanya perlu menggunakan enjin carian seperti GoogleYahoo dan lain-lain untuk mencari perkhidmatan yang diingini.

Sebagai contoh, perkhidmatan membina laman sesawang. Kata kunci perkhidmatan sebagai permulaan perkhidmatan yang diingini adalah amat penting dalam mencari perkhidmatan yang kita ingini.

Penyedia Perkhidmatan Membina Laman Sesawang

Di samping itu, peniaga juga boleh meminta perkhidmatan yang peniaga inginkan sekiranya tiada dalam carian peniaga di laman sesawang. Para peniaga hanya perlu menulis di bahagian Request Gigs dan menanti sekiranya terdapat individu yang berkebolehan menyediakan perkhidmatan yang diminta.


 TAHAP PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN DI MALAYSIA

Pola Penggunaan Media Sosial Di Malaysia

            Menurut Laporan Prestasi Industri 2013 yang diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terdapat 19.2 juta pengguna internet di Malaysia, dan 15.6 juta daripada mereka aktif dalam Facebook. Secara kasarnya, rakyat Malaysia menggunakan purata lima jam sehari melayari internet, dan tiga daripada lima jam itu digunakan untuk media sosial.

Sumber laporan artikel oleh The Malaysian Insideroleh Musliza Mustafa bertarikh11 Sept 2014, antara lain menyatakan jumlah pengguna internet di Malaysia berjumlah 19,200,408 orang dan daripada jumlah tersebut, terdapat 15,600,000 pengguna Facebook yang aktif di Malaysia. Purata masa digunakan pengguna internet di Malaysia setiap hari ialah 5 jam 36 minit manakala purata masa yang digunakan oleh pengguna media sosial di Malaysia untuk media sosial ialah 3 jam 17 minit.

Peratus penggunaan media sosial daripada jumlah populasi Malaysia ialah 64% dan angka ini terus meningkat saban hari.

Menurut Gero Azrul menerusi artikel bertajuk Strategi Online dan Offline yang dikeluarkan pada 2 Januari 2012 menunjukan kajian yang dijalankan oleh Nielsen, peningkatan penggunaan internet ialah 41% dan daripada jumlah tersebut, 22.4 jam digunakan untuk melayari internet. Manakala 71% daripada waktu tersebut digunakan untuk membuka laman sosial khususnya Facebook.

            Ini juga turut disokong oleh data sebelum ini dari penyelidikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).Tujuan penggunaan internet iaitu sebanyak 81.5% adalah bertujuan menggunakan melayari rangkaian media sosial.

Dengan mengambil data tersebut, boleh disimpulkan bahawa tujuan utama pengguna Internet menggunakan internet ialah mendapatkan maklumat mengenai sesuatu perkara. Mereka juga berkomunikasi melalui teks dan meluangkan masa yang tinggi dalam media sosial terutamanya rangkaian sosial seperti Facebook.

Pengguna Facebook di Malaysia juga telah mencecah seramai 12 juta. Secara tidak langsung memberikan kita gambaran jelas bahawa model pemasaran perniagaan telah berubah. Jika dahulu kita membincangkan mengenai sesuatu produk antara jiran dengan jiran, rakan sekerja, atau saudara mara. Pada zaman sekarang ini banyak perbincangan mengenai produk atau perkhidmatan dilakukan di rangkaian media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Jika anda perhatikan, berapa ramai yang mengatakan berpuas hati atau sebaliknya mengenai sesuatu produk di dalam halaman Facebook mereka atau halaman para perniaga. Ini memberi peluang kepada para pelanggan menyatakan tahap kepuasan khidmat atau produk yang diberikan oleh peniaga dan secara tidak langsung para peniaga memperolehi maklumbalas segera dan situasi ini memberikan manfaat kepada dua belah pihak iaitu pelanggan dan peniaga.


Pengaruh Pembelian Dalam Media Sosial


KELEBIHAN DAN KEBURUKAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN DI MALAYSIA

            Antara kelebihan penggunaan media sosial dalam perniagaan ialah membantu dalam mengiklankan produk tanpa melibatkan kos yang tinggi, kos yang rendah dapat digunakan bagi mendapatkan hasil yang lumayan sekiranya perancangan strategi dibuat dengan betul.

Kedua, jaringan sosial yang akrab antara rakan dalam media sosial membantu menambah pelanggan kepada produk yang baik melalui saranan yang boleh dipercayai atau trusted recommendation. Ketiga, membantu perniagaan mendapatkan sumber tenaga manusia, pembekal, pemborong dan rakan niaga dengan lebih mudah contohnya melalui jaringan professional sosial seperti Linked In.

Manakala, antara kelemahan penggunaan media sosial dalam perniagaan ialah terdapat banyak penipuan yang berlaku di mana-mana termasuk dalam laman media sosial. Penipuan yang berlaku seperti skim cepat kaya, pelaburan haram terhadap agensi-agensi tertentu dan terdapat juga pengguna yang tertipu akibat terlalu percaya dengan kenalan di Facebook. Oleh itu, pengguna mestilah bijak dan tidak mudah mempercayai orang lain yang tidak dikenali.


CABARAN ATAU HALANGAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN DI MALAYSIA

            Antara cabaran dan halangan kalangan pengguna rangkaian media sosial dalam pernigaan di Malaysia ialah terdapat terlalu ramai peniaga menggunakan rangkaian media sosial sebagai strategi pemasaran produk dan perkhidmatan mereka.Senario ini secara langsung mewujudkan persaingan yang sengit antara para peniaga. Keadaan ini menyebabkan sesuatu produk yang laris akan cepat tersebar dan kalangan peniaga akan memfokuskan kepada penjualan produk tersebut. Ia bakal mewujudkan keadaan bekalan melebihi permintaan yang akan memaksa para peniaga mencari alternatif atau produk lain untuk diniagakan.

            Kewujudan laman media sosial palsu dan menggunakan gambar atau testimoni milik peniaga lain turut menjadi cabaran kepada para peniaga atas talian. Sekiranya perniagaan atau produk tersebut tidak didaftarkan dan tidak memiliki Sijil Cap Dagangan dan Jamin Hak Cipta, sudah tentu menyukarkan para peniaga untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan hak mereka.

            Dari sudut perundangan pula, sekiranya pihak kerajaan berhasrat bagi mewujudkan akta berkaitan perlesenan dan percukaian terhadap para peniaga atas talian, ini akan mewujudkan kesukaran dan mengurangkan margin keuntungan terutamanya kepada para peniaga kecil dan peniaga sambilan.

            Liputan perkhidmatan internet yang belum meluas terutamya di kawasan pinggir dan luar bandar juga akan menyukarkan para peniaga dan pelanggan untuk urusan perniagaan dan sebagainya.


KESIMPULAN

            Perniagaan melalui penggunaan media sosial banyak memberikan kelebihan dan manfaat baik kepada para peniaga atau para pembeli. Namun kedua-dua pihak harus memainkan peranan dan interaksi dengan bertanggungjawab dan jujur agar segala transaksi yang dilakukan tidak menimbulkan sebarang masalah. Ini kerana kepercayaan antara peniaga dan pembeli menjadi kunci utama kejayaan dalam perniagaan sebegini.

            Sekiranya kemudahan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya, sudah tentu ia akan mengembangkan dan merancakkan lagi ekonomi diri, keluarga dan negara keseluruhannya. Semua pihak yang terlibat juga harus bijak dalam melakukan urus niaga dan pembelian.

            

1 comment: